[Audio & Traskrip] Tausiyah Al-Ustadz Abu Al-Abbas: EMPAT PERKARA yang MENGECUALIKAN Manusia daripada Kerugian [Bhgn. 1]

Berikut ini adalah bahagian pertama transkrip ringkas tausiyah bersama Al-Ustadzuna Abu Abbas Muhammed Salem Awadh Mufleh hafizhahullah pada 24 Dzul Qa'ida 1433H lalu yang telah disediakan oleh akhina Abu Mas'ud Aiman. Semoga bermanfaat.

Selanjutnya, ikutilah penjelasannya melalui ramakan audio / transkrip berikut:


Majlis dan perjumpaan yang dilaksanakan demi pengharapan kepada Allah adalah suatu niat yang sangat mulia, maka bagi mereka yang berniatkan sedemikian maka Allah akan mencintainya, ia merupakan suatu kedudukan yang mulia bagi mereka, dan juga diberitakan khabaran yang sangat indah bagi mereka yang berkumpul demi ilmu ikhlas kerana Allah.

Di dalam al Quran ada satu Surah di dalamnya suatu kesimpulan mengenai istiqomah dan keselamatan di dunia, bagi lelaki mahupun wanita, yang miskin mahupun kaya, yang kecil mahupun yang besar, suatu keselamatan bagi mereka yang mengikuti Surah ini, keselamatan di dunia, di kubur dan di akhirat.

Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i berkata: Jikalaulah Allah tidak menurunkan (Al-Quran) melainkan Surah ini, maka ia sudahpun mencukupi.

Surah ini adalah Surah Al-Asr, yang sudahpun mafhum ramai daripada kami menghafalnya.
Dalam Surah ini: Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan yang beriman, yang beramal soleh, yang menasihati dengan kebenaran dan yang menasihati dengan kesabaran.
Allah bersumpah dengan Masa, disebut huruf wau di ayat ini, والعصر bermaksud penegasan dikenali sebagai wau al-qasm. Asr pula bermaksud zaman ataupun waktu, mahupun siang dan malam, dan Allah bersumpah dengannnya kerana kepentingannya bagi manusia.

Barangsiapa yang memanfaatkan masanya dengan ketaatan kepada Allah maka ia akan selamat dunia akhirat, sebaliknya barangsiapa yang menggunakan masanya dengan maksiat dan dosa maka ia akan menghadapi kerugian yang amat besar.

Ibn Qayyim berkata: Pembaziran masa itu lebih dahsyat (teruk) daripada kematian.
Kemudian surah tersebut diteruskan dengan ayat إن الإنسان لفي خسر Inna di sini bermaksud sesungguhnya, merupakan penegasan juga. Kemudian Alif Lam istidrak pada perkataan Al-Insaan menunjukkan bahawa semua manusia tergolong dalam golongan ini yakni kerugian dan tidaklah seorang pun terlepas daripadanya, yang kaya, yang miskin, yang tua, yang muda. Kemudian Lafii, lam di sini bermaksud penegasan juga. Lihatlah, Allah telahpun menggunakan penegasan sebanyak tiga kali dalam surah ini. Wau, Inna, dan Lam. Kemudian diteruskan dengan perkataan fi bermaksud memasuki, maka manusia itu memasuki ke dalam khasarah (kerugian) dari semua arah.
Tua ataupun muda, miskin ataupun kaya, lihatlah pada diri kita samaada kita tergolong dalam golongan yang kerugian ataupun tidak.

Kalaulah kita lihat kembali pada surah ini, bahawasanya manusia itu tidaklah ia keluar daripada kerugian melainkan yang telahpun dikecualikan oleh Allah dalam ayat berikutnya. إلا الذين ءامنوا و عملوا الصالحات وتواصوا بالحق و تواصوا بالصبر

Maka, Allah telah menyatakan empat golongan yang terlepas daripada kerugian ini iaitu, Mereka yang beriman, mereka yang beramal soleh, mereka yang menasihati dengan kebenaran, dan mereka yang menasihati dengan kesabaran.

Iman yang dinyatakan disini adalah mutlaq, jelas kedudukannya dan iman itu bukanlah dengan beriman dengan sebahagian sahaja manakala sebahagian lain diingkari. Sebaliknya pula iman itu lengkap dan juga amalan yang soleh itu melengkapkan iman.

Kemudian golongan yang kedua iaitu golongan yang beramal soleh. Amalan soleh itu terbahagi kepada dua: pertama, melaksanakan ibadah seperti solat, zakat, puasa, sedekah, mengikuti majlis ilmu. Kedua, meninggalkan maksiat seperti zina, mengumpat, riba, mengadu domba, riya’, ucapan manusia dan pendapat mereka tanpa dalil, ataupun taqlid buta dalam hal agama tanpa dalil. Maka meninggalkan amalan-amalan maksiat ini juga merupakan amalan soleh. Dan amalan soleh tidaklah ia menjadi soleh melainkan dengan mengikuti Sunnah baginda Salla Allahu alaihi wa sallam dan mengikuti as-Sunnah adalah wajib.

Golongan yang ketiga iaitu menasihati dengan kebenaran. Nasihat di sini bermaksud menasihati dengan perasaan kasih sayang dan rahmat dan kerana cinta terhadap manusia, cinta terhadap kebaikan saudaranya, cinta terhadap teman-temannya dan juga jirannya dan juga ahli keluarganya. Dan antara amalan soleh yang paling agung adalah menasihati manusia dengan agama Allah ini. Dan tidaklah seseorang yang benar-benar beriman itu akan menyukai jikalau saudaranya tersesat daripada agama Allah ini. Dan antara hikmah dalam berdakwah terhadap saudara-saudara seagama kita ini adalah tidak terlalu berkeras terhadap mereka. Dakwah agama ini pada asalnya adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kesesatan, dan mengajak mereka dengan penuh istiqomah dan dengan cara yang baik sebagaimana Allah telah perintahkan Musa AS untuk mengajak Firaun dan kaumnya daripada kesesatan kepada kebenaran.

Golongan yang terakhir adalah menasihati dengan kesabaran. Tidak ada iman bagi seseorang yang tidak sabar (Ali bin Abi Talib radiyallahuanhu). Sabar ini dibahagikan kepada tiga: pertama, sabar dalam mentaati perintah-perintah Allah, barangsiapa tidak sabar dalam pelaksanaan perintah Allah pasti ia akan meninggalkan ketaatan itu. Kedua, bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan, barangsiapa tidak sabar dalam peninggalan itu maka ia pasti akan memasukinya. Ketiga, bersabar terhadap taqdir Allah, dan barangsiapa yang bersabar terhadap takdir Allah pasti ia akan selamat dan hidup dalam keadaan selamat, tetapi sebaliknya bagi mereka yang tidak bersabar pasti ia akan terkeluar daripada Islam (kufur) kerana tidak sabar kepada takdir Allah dan pasti kehidupannya akan menjadi susah dunia dan akhirat.

Semoga nasihat yang diberikan oleh saya dimanfaatkan dan semoga kita tergolong dalam golongan yang tidak rugi.

Wallahu a'lam bisssowab.

Oleh Al-Ustadz Abu Abbas Muhammed Salem Awadh Mufleh hafidzahullah
Ba'da Isya' 24 Dzul Qa'ida 1433H / 10 Oktober 2012 / Keramat Permai, Kuala Lumpur.



Diperbolehkan menyebarkan rekaman kajian ini untuk kepentingan da’wah, bukan untuk tujuan komersil. Untuk mengunduh / download sila right click pada link file yang berkenaan dan pilih "Save Link As ...". Semoga bermanfaat. Baarakallahu fiikum.

Ulasan